Followers

Saturday 20 April 2019

BAB 10 : PENGURUSAN PELBAGAI BUDAYA


              Budaya merujuk kepada ciri-ciri atau hasilan tingkah laku yang dipelajari oleh sekumpulan manusia daripada persekitaran sosialnya (Amir 2002). Selain itu, budaya adalah keseluruhan yang kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang, adat dan sebarang bentuk keupayaan yang diperolehi oleh seseorang sebagai ahli masyarakat (Tylor 1871). Menurut Bourdieu (1990), budaya adalah proses sosial di mana budaya dan struktur sosial adalah saling berkaitan. Definisi Pelbagai Budaya ialah satu sistem kepercayaan dan tingkah laku yang mengiktiraf dan menghormati kewujudan kepelbagaian dalam kelompok sebuah organisasi atau masyarakat, mengakui dan menghargai perbezaan sosiobudaya, dan menggalakkan dan menerima sumbangan berterusan mereka dalam konteks dan budaya yang inklusif dalam organisasi atau masyarakat berkenaan. Teori Sosial Pelbagai Budaya terbahagi kepada tiga iaitu Teori Melting Pot 1: Anglo Conformity, Melting Pot II: Ethnic Synthesis, dan Cultural Pluralism (Mosaic Analogy).

             Kepelbagaian latar belakang individu dalam masyarakat mempengaruhi kepelbagaian latar belakang para pelajar dalam institusi pendidikan (Banks, 1989). Dalam konteks Malaysia, para pelajar di institusi pendidikan terdiri daripada pelajar yang memiliki pelbagai latar belakang berbeza seperti agama, etnik, bahasa, dan budaya. Hal ini menunjukkan kewajaran mengenai kepentingan pendidikan pelbagai budaya. Pendidikan pelbagai budaya ialah proses atau strategi pendidikan yang melibatkan lebih daripada satu budaya, yang ditunjukkan melalui bahasa, etnik, atau ciri-ciri ras (Saha, 1997). Pendidikan pelbagai budaya boleh berlaku dalam pendidikan formal atau tidak formal. Tujuan pendidikan pelbagai budaya adalah untuk mewujudkan kesedaran, toleransi, pemahaman, dan pengetahuan yang mengambil kira perbezaan dan persamaan antara budaya dan kaitannya dengan pandangan dunia, konsep, nilai, keyakinan, dan sikap.

       Pendidikan pelbagai budaya dapat dilihat dari tiga aspek: konsep, gerakan, dan proses (Banks 1989). Dari aspek konsep, pendidikan pelbagai budaya merupakan idea yang melihat semua pelajar mempunyai hak yang sama untuk belajar di dalam kelas tanpa membezakan mereka dari segi jantina, kelas sosial, etnik atau kriteria lain. Selain itu, dari aspek gerakan pendidikan pelbagai budaya didefinisikan sebagai usaha untuk mengubah institusi-institusi pendidikan sehingga pelajar daripada semua kaum, kelas sosial, jantina dan lain-lain memiliki peluang yang sama untuk belajar. Seterusnya, dari aspek proses, pendidikan pelbagai budaya dapat difahami sebagai proses untuk mencapai tujuan agar kesamaan pendidikan dapat dicapai oleh semua pelajar.

      Dimensi Pendidikan Pelbagai Budaya terbahagi kepada lima iaitu content integration, the knowledge construction process, an equity pedagogy, prejudice reduction, dan an empowering school Culture and Social Structure. Content integration ialah mengintegrasikan berbagai budaya dan kelompok untuk mengilustrasikan konsep asas, generalisasi dan teori dalam mata pelajaran disiplin ilmu. The knowledge construction process pula membawa pelajar untuk memahami implikasi budaya ke dalam sebuah mata pelajaran. An equity pedagogy dapat menyesuaikan kaedah pengajaran dengan cara belajar para pelajar dalam rangka membimbing prestasi akademik pelajar yang pelbagai baik dari segi ras, budaya ataupun sosial. Prejudice reduction ialah mengenal pasti kriteria dan ciri-ciri budaya pelajar dan menentukan kaedah pengajaran yang sesuai untuk mereka. Ini adalah bagi mengurangkan perasaan prejudis terhadap budaya kaum lain. An empowering school Culture and Social Structure melatih kelompok untuk menyertai dalam kegiatan olahraga, berinteraksi dengan seluruh staf dan pelajar yang berbeza etnik dan ras dalam membentuk dan memperkasakan budaya sekolah dan struktur masyarakat.

         Pendidikan pelbagai budaya adalah pendidikan asas untuk menyediakan semua pelajar bagi memberi sumbangan secara maksimum dalam kehidupan dunia masa sekarang. Pendidikan pelbagai budaya harus termasuk dalam setiap kurikulum. Pendidikan pelbagai budaya meliputi tujuan-tujuan pembelajaran afektif dan kognitif. Populasi pelajar dengan latar belakang yang pelbagai akan mengarah kepada pembelajaran yang terbaik bagi setiap individu pelajar. Pendekatan pelaksanaan Pendidikan Pelbagai Budaya ialah guru menolong pelajar untuk meningkatkan pencapaian akademik dalam semua bidang termasuklah kemahiran asas dengan menggunakan bahan pengajaran yang sensitif dan sesuai dengan latar belakang pelajar. Selain itu, guru memberi perhatian kepada suara hati pelajar. Komunikasi secara verbal dan bukan verbal antara guru dan pelajar hendaklah dianalisis untuk meningkatkan penyertaan pelajar semasa proses pembelajaran. Pelajar perlu merasa selesa dan diterima apabila mereka membawa identiti budaya mereka ke dalam bilik darjah. Pengajaran pendidikan pelbagai budaya harus fleksibel kerana tidak ada satu pun kaedah pembelajaran sesuai untuk seluruh pelajar. 

         Pengajaran pendidikan pelbagai budaya adalah berpusatkan pelajar, tidak sesuai apabila menggunakan kaedah kuliah. Pendidikan pelbagai budaya berasas kepada prinsip: penghargaan, empati dan kesamarataan. Cara belajar pelajar dan cara guru mengajar hendaklah difahami bagi membina dan mengembangkan kaedah pengajaran yang lebih berkesan. Pendidikan pelbagai budaya hendaklah dimasukkan ke dalam kurikulum secara formal. Pendidikan pelbagai budaya mesti memberi kesan kepada kurikulum di setiap peringkat. Pendidikan pelbagai budaya hendaklah mengajar pelajar untuk berfikir secara kreatif dengan memberi kebebasan untuk bertanya. Pendidikan pelbagai budaya mesti menggunakan masyarakat sebagai sumber. Masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum hendaklah disatukan di bawah satu bumbung pendidikan yang berteraskan pelbagai budaya.

        Kepentingan memahami kepelbagaian budaya bagi guru ialah guru bertanggungjawab memupuk perpaduan dalam kalangan muridnya. Dengan adanya pemahaman terhadap kepelbagaian budaya, guru akan dapat menerapkan unsur-unsur budaya kepada murid. Murid akan lebih mengenali budaya yang terdapat dalam masyarakat Malaysia. Nilai menghormati dan menerima budaya orang lain akan wujud dalam diri murid. Seterusnya mereka akan lebih memahami apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan dalam masyarakat pelbagai budaya. Dalam konteks profesional keguruan, dengan memahami kepelbagaian budaya, seseorang guru akan lebih bersedia untuk berhadapan dengan murid daripada pelbagai budaya. Tidak ada prasangka atau prejudis terhadap diri murid. Guru akan lebih berhemah dan menghormati nilai serta amalan budaya setempat. Pengurusan Program Pelbagai Budaya peringkat Sekolah boleh dilaksanakan melalui aktiviti memupuk perpaduan dalam pendidikan seperti Kelab Rukun Negara, Kem Perpaduan, Program Silang Budaya, dan Kelab Bahasa.

Rujukan

      1.   Pengurusan Bimbingan & Kaunseling. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2002.

     2.      Mohd Salleh Lebar, Krumboltz (George & Kristianni, 1990). (2012). Perkhidmatan dan                       kemahiran  dalam bimbingan dan kaunseling . Brunei: Pusat Penerbitan Kolej Perguruan Ugama         Seri Begawa.

     3.   Mohd Salleh Lebar, Krumboltz (George & Kristianni, 1990). (2012). Perkhidmatan dan                       kemahiran dalam bimbingan dan kaunseling. Brunei: Pusat Penerbitan Kolej Perguruan                        Ugama Seri Begawa.

No comments:

Post a Comment