Followers

Saturday 20 April 2019

BAB 3 : KAJIAN PENGURUSAN DAN PEMBELAJARAN PELAJAR



    Definisi Pengurusan ialah proses merancang, mengelola, memimpin dan mengawal daya usaha ahli-ahli organisasi dan menggunakan sumber-sumber lain untuk mencapai matlamat yang ditentukan (Stoner,1984). Pengurusan juga adalah satu proses mendapatkan kerjasama kakitangan secara berkesan untuk mencapai matlamat (Robbins,1984). Menurut Ahmad Mahdzan (2004) pengurusan ialah aktiviti sistematik bagi mencari jawapan kepada beberapa soalan khusus tentang sesuatu masalah yang sudah dikenal pasti. Di samping itu, pengurusan mencakupi bagaimana sumber-sumber seperti kewangan, manusia dan alat-alat digembleng dan digunakan untuk mencapai matlamat organisasi (Shukur,1988).


   Pengurusan bilik darjah melibatkan tindakan guru untuk mewujudkan persekitaran yang menggalakkan interaksi sosial yang positif, mewujudkan penglibatan pembelajaran aktif, dan meningkatkan motivasi kendiri murid (Burden 2003). Selain itu, usaha mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan di sekolah. Ia juga merujuk kepada kemampuan mengurus perlakuan murid supaya tidak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (Ang Jit Eng 2014). Domain pengurusan bilik darjah ialah memilih satu model falsafah pengurusan disiplin dan bilik darjah, mengorganisasi persekitaran fizikal  menguruskan tingkah laku pelajar, mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyokong dan saling menghormati , mengurus dan melancarkan proses pengajaran, menggalakkan suasana bilik darjah yang selamat dan sihat dan berinteraksi dengan rakan sekerja, ibu bapa, dan pihak lain untuk mencapai objektif pengurusan pembelajaran

   Seterusnya, terdapat beberapa strategi pengurusan pembelajaran iaitu pembelajaran berpusatkan guru, bahan dan pelajar. Pengurusan Pelbagai Budaya adalah berdasarkan penerimaan dan layanan adil, pelaksanaan pedagogi dan strategi pembelajaran, pengurusan hubungan, pemilihan bahan sumber dan pelaksanaan program Silang Budaya. Pengurusan Pelbagai Upaya pula dilaksanakan melalui Pemulihan, Pengayaan, Program Pendidikan Khas Integrasi bagi murid berkeperluan khas seperti pintar cerdas, autisme, dan disleksia, Program Pendidikan Inklusif dan Program Pendidikan Orang Asli dan Peribumi.

 Sekolah merupakan organisasi yang unik dan tidak terdapat pada mana-mana organisasi di dunia (Sharpe 1989).Keunikan ini memerlukan pengurus yang berpengetahuan dan berkemahiran yang tidak dipunyai oleh pengurus organisasi lain. 3. Ciri yang menjadikan organisasi sekolah kini paling sukar ditadbir ialah sekolah dan sistemnya adalah organisasi manusia. Klien dan bahan mentahnya manusia, sumbernya manusia dan matlamatnya berkait dengan manusia. Kumpulan sasaran manusia ialah kanak-kanak dan remaja yang kompleks dalam tempoh perkembangan mental, fizikal, emosi dan sosial. Matlamat utama sekolah berkait dengan pendidikan. Pendidikan berkait dengan pembelajaran, perkembangan dan pembangunan diri manusia. Manusia adalah modal insan atau aset utama sesebuah negara.


   Pengurusan sekolah perlu kreatif dan inovatif bagi membentuk organisasi sekolah yang dinamis- pengetahuan baru, budaya saintifik, penyebaran teknologi maklumat dan pembangunan potensi manusia (Abd Rahim Abd Rashid 2001).Namun, sekolah merupakan institusi yang paling lambat berubah, konservatif dan mengekalkan amalan tradisional yang tidak sesuai dengan kehendak semasa (Senge 2000). Lantaran itu, pengurusan strategik di kalangan pengurus di sekolah-sekolah amat penting  bagi wujudkan sekolah yang berkesan. Pengurusan sekolah termasuklah dari aspek pengurusan bilik sumber, pengurusan organisasi sekolah dan segala hal yang berkaitan dengan sekolah. Pihak sekolah juga perlu menjaga hubungan baik dengan ibu bapa agar kecemerlangan dan perkembangan sahsiah pelajar dapat dicapai.  

   Pembelajaran ialah perubahan atau kemampuan seseorang yang dapat dikekalkan tetapi tidak disebabkan oleh pertumbuhan (Gagne 1970). Menurut Morgan & King (1975), pembelajaran merupakan sebarang perubahan tingkah laku yang agak kekal akibat pengalaman yang diperolehi oleh seseorang atau akibat latihan yang dijalaninya. Pembelajaran adalah proses di mana pengalaman menyebabkan perubahan dalam pengetahuan dan tingkah laku yang kekal (Woolfolk 1995). Di samping itu, pembelajaran juga ialah perubahan sistematik dalam tingkah laku atau penyusunan tingkah laku yang berlaku hasil dari pengalaman dalam situasi yang tertentu (Bigge 1982). Gagne (1974) menyatakan pembelajaran adalah perubahan pemikiran, perubahan kebolehan, perubahan tingkah laku, berkaitan dengan minat, sikap dan nilai yang dipegang dan diamalkan serta pembelajaran memerlukan rangsangan supaya meninggalkan kesan lebih bermakna.
   Prinsip pembelajaran merujuk kepada asas-asas yang menjelaskan bagaimana suatu proses pembelajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan di bilik darjah (Shahabuddin et al., 2006). Sehubungan itu terdapat beberapat prinsip pembelajaran iaitu kesediaan belajar, pengalaman, latihan, kondusif, bermatlamat, penglibatan aktif, persediaan awal, mengkaji murid, dan unsur dorongan. Faktor yang mempengaruhi kesediaan belajar ialah sosial dan persekitaran di mana guru perlu ajar murid sedia menerima orang lain, prihatin terhadap sekitar, tidak egosentrik, dan sedia terima pendapat  Faktor kesediaan belajar yang lain ialah pengalaman sedia iaitu murid lebih sedia dan yakin belajar sekiranya bahan pembelajaran berkaitan dengan pengalaman mereka. Proses pembelajaran dimulakan dengan penanggapan iaitu membentuk persepsi terhadap rangsangan diterima pancaindera (melihat, mendengar, menghidu, merasa). Seterusnya, maklumat diproses dan disimpan sebagai pengalaman dan disimpan di ingatan sekiranya berguna. Pengalaman dalam bentuk pengetahuan dan kemahiran akan dipanggil semula untuk diguna bagi sesuatu tafsiran, menyelesaikan masalah dan untuk mencapai matlamat. Sekiranya tidak digunakan ia akan hilang dan dilupakan. Sekiranya pengalaman tersebut diproses selalu, ditokok tambah, dan diperbaharui, ia akan kekal dalam ingatan.

Rujukan


        Mohamad Daud Hamzah (1996). Perkembangan Kanak-Kanak Dan Pembelajaran.                      Kuala Lumpur: Utusan.

       Zulkifley Hamid (1994). Pembelajaran Dan  Pengajaran Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan                 Bahasa dan Pustaka.

        Mastuti Isa & Wooley (1997). Gambaran Keseluruhan: Menyepadukan Pembelajaran                    Kanak-kanak. Kuala Lumpur : ITNM.


No comments:

Post a Comment